Mereka dihadapkan dihadapan Raja Dikyanus yang zalim dan sombong lalu mereka memperkatakan dengan berani tentang keimanan dan prinsip akidah bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah. Walaupun Raja tersebut tidak mampu menjawab hujah mereka namun dia tetap ingin menghukum mereka, lalu Allah memberikan pertunjuk kepada mereka agar melarikan diri ke dalam gua, lalu ditidurkan Allah selama 309 tahun.
Siapakah mereka dalam cerita di atas ini? Mereka ini bukanlah Nabi ataupun Rasul tetapi apa keistimewaan mereka dikabulkan doa mereka dan juga Allah turunkan karomah kepada mereka?
Sebenarnya mereka inilah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang diceritakan dalam surah Al-Kahfi. Pemuda-pemuda yang bersatu dan berkumpul atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Mereka tinggal di persekitaran kawasan yang rata-rata dipenuhi orang yang jahil dan kufur. Walaupun mereka masih muda namun mereka tidak terpengaruh dengan waqi' (keadaan sekeliling) tersebut, sehinggakan dipanggil pula untuk berdepan dengan pemimpin mereka.
Allah tujukan kisah ini untuk kita para pemuda, supaya kita sedar akan tanggungjawab kita di muka bumi ini. Tiada sebenarnya istilah alasan "Masih muda" untuk menarik diri daripada melakukan kebaikan, kerana Allah sebenarnya menyukai pemuda yang memperjuangkan agamaNya. Dinyatakan juga pemuda yang taat akan perintah Allah adalah antara golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari kiamat.
Tapi kenapa agaknya ia ditujukan kepada pemuda?
Kenapa tidak diletakkan keistimewaan itu untuk orang tua ataupun kanak-kanak?
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui kenapa..
Tetapi yang pasti, waktu muda inilah waktu kita ingin lebih mengenali dunia. Kita sering ada perasaan ingin tahu, eager to know,curiousity yang tinggi serta perasaan yang inginkan freedom. Hakikatnya di usia ini kita suka mencari pelbagai hobi dan perkara-perkara yang dapat mengisi kekosongan di dalam jiwa. Sebab itu kebanyakkan cerita daripada sesetengah muallaf bahawa mereka mula mengenali Islam diperingkat usia muda, dimana hati mereka terpanggil-panggil untuk mencari makna kehidupan dan 'Islam is the solution'.
Sebaliknya, ada pula pada usia ini yang mula mengenali couple, mula untuk lebih bersosial, ada yang menjadi obsesi dengan muzik dan hiburan, ada yang sering terpengaruh dengan ideologi-ideologi barat yang cuba ingin mentafsirkan makna-makna kehidupan mengikut logik, kehendak akal dan nafsu. Namun walau banyak mana kita diisi dengan perkara-perkara tersebut kita seringkali terasa kosong.. kosong.. (macam lagu Najwa Latif tu.)
Hanya dengan kembali meletakkan ubudiyyah (kehambaan) kita kepada Allah, kita dapat mengisi kekosongan di jiwa kita tadi. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, cabaran pemuda itu banyak dan sukar. Jadi sahutlah cabaran tersebut wahai syabab (pemuda), jangan terus berpeluk tubuh dan fikir kita masih terlalu awal untuk memperjuangkan agama Allah. Sebaliknya yakinlah bahawa kita ini ialah bakal menjadi pemimpin ummah akan datang.
*Wahai pemuda, dimana kamu?
Renunglah kembali pemuda-pemuda masa lampau yang membangkitkan Islam diusia muda mereka seperti Ali bin Abi Talib yang memeluk Islam sewaktu umurnya 8 tahun dan turut bersama Rasulullah SAW dalam memperjuangkan Islam. Usamah bin zaid yang dijadikan sebagai Komander dikala usianya 18 tahun. Imam Syafie yang menjadi mujtahid di sekitar umurnya 13 tahun serta Hassan Al-Banna yang bersama-sama dengan gerakan jemaah IM ketika usia beliau 23 tahun. Ya Allah terasa kecil dan hinanya diri kita walaupun sudah hampir-hampir sebaya namun masihlah tidak membawa apa-apa sumbangan kepada Islam.
Akhir kata, nasihat daripada Mufti Menk yang sudah diterjemahkan mahupun ditokok-tambah untuk pedoman kita semua termasuklah saya sendiri, "Bagaimana kita nak bercakap tentang tugas pemuda? Sedangkan kita tak mampu nak bercakap tentang Sincerity (Sidiq) kita kepada Allah". Oleh itu perkuatkan dahulu link kita dengan Allah swt dan pergantungan kita denganNya. Dalam masa yang sama juga perkukuhkan semula asas kita tentang agama.
Wallahualam.
p/s: Syabab Li Inqas Al Ummah = Pemuda yang berperanan mengangkat darjat ummah. Malam ini malam Jumaat, jadi bolehlah baca dan amalkan surah Al-Kahfi serta bacalah cerita tentang pemuda Al-Kahfi.